JEJAK WARISAN JAWI (II) 2011 - 7 Countries - 'RENTAS 7 NEGARA' > Malaysia > Thailand > Burma > China > Laos > Vietnam > Kemboja

Konvoi telah pun berlepas setelah majlis Flog-off oleh YB Datok' Seri Utama Dr Rais Yatim pada 24hb Mei 2011 di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad. Kini konvoi telah pun merentas 7 negara sehingga 19 Jun 2011. Berita perjalanan konvoi JWJ2 ini telah disiarkan setiap hari di Utusan Malaysia. Bernama Online dan Bernama Radio 24 [93.9fm] jam 10.10 pagi.
Konvoi telah selamat tiba ke Tanah Air tercinta, Malaysia pada jam 10.45 malam, 19hb Jun 2011. Catatan perjalanan akan di update di blog DIARI-JWJ2



MERANTAS 7 NEGARA - Jejak Warisan Jawi II 2011

Jejak Warisan Jawi (JWJ) adalah sebuah projek anjuran MAJMA' BUDAYA DAN WARISAN JAWI untuk menjelajah Rumpun Melayu Islam yang terbit hasil daripada pemikiran kritis segolongan kecil anak bangsa yang sayangkan sejarah bangsanya dan cuba melangkau kebiasaan untuk menyelusuri dan menjejaki sejarah rumpun bangsanya di luar kelompok negara bagi menjalin kembali ikatan yang dahulunya satu.

Bertujuan menjejak dan merungkai sejarah baru bangsa Melayu dan kesinambungan tinggalannya di seluruh dunia, ia juga untuk menjalin kembali hubungan silaturrahim di dalam kelompok negara yang berlainan. Ia juga satu program yang harmoni dengan persembahan kebudayaan Melayu Semenanjung dari pasukan WarisAlam kepada masyarakat Melayu di negara-negara lain. JWJ2 akan merentas 7 Negara selama 21 hari bermula dari 25hb Mei 2011 sehingga 14 Jun 2011 dengan menggunakan 10 buah kenderaan pacuan 4 roda dari pasukan BLACKWIND ADVENTURE TEAM. Selain itu ekspedisi ini turut membawa logo kempen ‘MELAWAT MALAYSIA’ sebagai salah satu usaha projek ini untuk memperkenalkan produk pelancongan bagi menarik pelancong ke Malaysia.



Tuesday, March 30, 2010

Catatan Perjalanan oleh Panglima Balau


Mungkin ada yang beranggapan ianya adalah sebagai satu trip pelancongan ataupun sekadar "makan angin" akan tetapi ianya sebenarnya adalah merupakan satu program khusus yang telah dirancangkan selama hampir dua tahun sebelumnya oleh barisan rakan-rakan di "Majma'"

Tarikh masa dan kekuatan telah dikumpulkan maka bermulalah perjalanan kami bagi menyelusuri bani jawi yang katanya masih ada sekelumit yang tinggal ditanah siam nun,maka langkah diatur menaiki gajah-gajah besi sebanyak 7 ekor membawa kami terus dari klang dimana tempat flag off permulaan terus membawa ke sempadan tanah melayu di bukit kayu hitam,so macam biasa lah kami melalui proses imigrasi di dua jabatan imigrasi iaitu malaysia dan thailand,nak dijadikan ceritanya masa waktu uusasn dengan pihak malaysia alhamdulillah kami tiada masalah,tapi bila masuk jer kewasan pentadbiran gajah putih maka bermula lah sedikit bekal cerita kami di tanah siam tersebut.

Cerita seterusnya di : http://panglimabalaukrabi.blogspot.com/

Gambar menarik di : http://www.panglimabalaujejakwarisanjawi.blogspot.com/

Jejak Warisan Jawi di Berita Minggu (i)


Bersyukur dan bertuah dilahirkan di Malaysia selepas melihat nasib saudara serumpun dan seagama di negara lain

PERJALANAN secara keseluruhan meliputi jarak sejauh 4,120 kilometer, bukan penjelajahan untuk berseronok tetapi memenuhi misi Jejak Warisan Melayu Jawi dari Semenanjung ke Ayutthaya, Thailand selama 10 hari, iaitu menjejaki masyarakat Melayu minoriti di Thailand yang kian terhakis budaya dan warisan mereka.

Dalam mencari semula susur galur masyarakat Melayu yang terpisah dengan Semenanjung Tanah Melayu selepas termeterainya Perjanjian Bangkok antara Thailand, British dan Tanah Melayu pada 1909, konvoi kenderaan pacuan empat roda (4x4) yang disertai 22 anggota, termasuk wakil Berita Minggu bergerak merentasi sempadan menggunakan laluan darat. Ekspedisi yang melalui 14 bandar persinggahan bermula 12 hingga 21 Februari 2009 laluLink memulakan perjalanan dari bandar Klang menuju bandar sempadan Bukit Kayu Hitam, seterusnya masuk ke Thailand melalui bandar kecil Danok.

Ujian tahap kesabaran terpaksa kami hadapi seawal hari pertama konvoi memulakan perjalanan sebaik memasuki bandar sempadan Danok apabila kenderaan konvoi menghadapi masalah untuk melepasi sempadan berikutan masalah dokumen kenderaan yang menyebabkan kami tersadai hampir 10 jam di Danok sebelum dapat meneruskan perjalanan ke destinasi pertama kami iaitu ke perkampungan Melayu di Pulau Koh Klang, Krabi kira-kira jam 6 petang.

Perjalanan mengambil masa hampir enam jam sebelum kami sampai di perkampungan Koh Klang dan disambut mesra penduduk dengan kenduri kampung ala Melayu Thai meskipun hari sudah lewat malam.

Sebaik menyelesaikan agenda di Pulau Koh Klang kami berangkat ke destinasi kedua menuju bandar Pang Nga untuk menaiki bot bagi menjejaki sekumpulan lagi masyarakat Melayu Thai yang terselamat daripada bencana tsunami pada 2004 di Pulau Panyee atau nama Melayunya Pulau Panji.

Tidak dapat dipastikan bagaimana perkataan ‘panji’ itu boleh wujud, tetapi menurut cerita masyarakat setempat, ia berasal daripada panji kebesaran kerajaan terdahulu yang ada kaitan dengan sejarah kesultanan pemerintah Siam Ayutthaya.

Gambaran yang boleh penulis berikan selepas menjejaki dua masyarakat Melayu minoriti di penempatan ini secara umumnya adalah sama, hidup agak terpinggir, jauh daripada pembangunan dan bertarung untuk hidup dalam memilih untuk mengekalkan identiti Melayu atau mengikut dasar dan ketetapan kerajaan demi kelangsungan hidup yang akhirnya menghakis sedikit demi sedikit budaya Melayu mereka.

Perjalanan kami diteruskan ke bandar Chumphon menuju Ayutthaya, bagaimanapun kami tersadai di tengah perjalanan selama beberapa jam berikutan kerosakan kecil kenderaan konvoi hingga menyebabkan kami terpaksa bermalam di bandar Prachuap Kiri Khan yang tidak tersenarai dalam senarai bandar persinggahan sebelum meneruskan perjalanan keesokan harinya.

Apabila bergerak dalam berkumpulan, interaksi radio amatur menjadi nadi utama dan kunci bagi memastikan pergerakan kami lancar dan tidak berdepan sebarang kesukaran besar. Malah ketika konvoi bergerak menuju Ayutthaya yang mengambil masa hampir lapan jam, kami sekali lagi diuji apabila gagal menemui kedai makanan Muslim hingga memaksa kami singgah di kedai serbaneka 24 jam membeli roti dan makanan ringan bagi mengalas perut.

Kami menjengah bandar bersejarah Ayutthaya sekitar jam 8 malam dalam keadaan perut berkeroncong, sebaik mendaftar masuk kami bergerak keluar mencari alas perut di sekitar bandar dengan menaiki `tut-tut’ kenderaan paling popular di Thailand dan dibawa ke pusat penjaja Muslim di pinggir Ayutthaya. Istimewanya di sini pelancong beragama Islam mendapat diskaun harga makanan berbeza dengan harga yang dikenakan kepada pelancong asing.

Walaupun Ayutthaya menjadi destinasi puncak pencarian Bani Jawi, gelaran yang diberikan Majmak Melayu Jawi, kumpulan yang bertanggungjawab menganjurkan ekspedisi ini, pencarian bersambung kerana laluan pergi dan pulang mengikuti laluan berlainan.

Apapun, pengalaman menjejaki saudara seagama dan serumpun ini walaupun dalam suasana santai dan penuh kemesraan cukup menginsafkan. Cara hidup, budaya, dan kepercayaan mungkin sama, tetapi jati diri dan identiti serta perjuangan mereka untuk hidup sangat berbeza dan cukup mengharukan menyebabkan penulis berasa cukup bertuah dan bersyukur dilahirkan di bumi Malaysia yang tercinta.


Bahasa Melayu semakin lenyap

BENCANA tsunami, meskipun sudah hampir lima tahun berlalu tetapi meninggalkan kesan yang cukup besar dan mendalam terhadap Ramlah Din, 53, seorang daripada masyarakat Melayu yang tinggal di kawasan penempatan minoriti Melayu di Ban Muang Kluang yang terletak di wilayah Ranong, Thailand.

Walaupun tidak mengalami kesan yang cukup memeritkan akibat kematian sanak saudara yang terkorban dalam tragedi itu, namun tsunami banyak merubah landskap kehidupan dan menjadikan kehidupan yang dilalui kini tidak lagi seperti dulu.

“Dulu masyarakat di sini dilimpahi dengan kemakmuran melalui hasil pertanian dan tangkapan ikan yang boleh dikatakan cukup menampung kehidupan kami seharian.

“Namun selepas tsunami, keadaan kampung ini seperti `padang jarak padang terkukur’ dan hasil pencarian semakin lama semakin kurang,” katanya yang masih fasih bertutur dalam bahasa Melayu dalam dialek Kedah kerana sering berulang alik menjenguk saudara mara yang masih ramai menetap di Malaysia.

Jelasnya, kesan tsunami benar-benar menghimpit penghidupan penduduk di perkampungan itu kerana ombak besar setinggi bukit yang memusnahkan kawasan itu turut memusnahkan jelapang padi seluas ratusan hektar yang menjadi mata pencarian utama penduduk di kawasan itu selain hasil laut.

“Selepas tsunami, ikan semakin berkurangan dan nelayan di kawasan ini turut berasa tempiasnya kerana hasil tangkapan menjunam daripada sekitar 2,000 Baht (RM200) sehari kepada hanya kira-kira 200 hingga 300 Baht (RM20 hingga RM30) sehari. Kadang-kadang duit minyak pun tak lepas.

“Ramai anak-anak yang terpaksa berhenti sekolah dan terpaksa turun ke laut membantu keluarga bagi memastikan kami sekeluarga dapat terus makan tetapi yang lebih kami kasihan ialah anak-anak yatim yang kematian ibu bapa ketika tsunami,” katanya tenang.


Ban Muang Kluang yang terletak mengadap Laut Andaman dihuni kira-kira 4,000 penduduk yang 100 peratus Melayu Islam. Sepanjang perjalanan Kembara Jejak Warisan Jawi anjuran Majmak Warisan Jawi, penulis turut dapat merasai kesusahan dan kepayahan yang dihadapi penduduk di sini yang masih belum pulih sepenuhnya daripada kesan tsunami meskipun tragedi itu sudah lima tahun berlalu.

Menceritakan kejadian tsunami yang berlaku pada 26 Disember 2004 itu, Ramlah berkata, meskipun ratusan nyawa penduduk kampung terkorban terutama yang tinggal berhampiran laut, namun atas kuasa Tuhan, dua masjid yang ada di kawasan itu hanya terjejas sedikit.


Bagaimanapun sekolah agama yang menyediakan kelas al-Quran dan fardu Ain kepada pelajar Melayu yang ada di perkampungan itu musnah dan sudah dibina semula.

Kembara kami singgah di perkampungan minoriti Melayu itu sebagai tempat penginapan melalui penginapan homestay yang disediakan, namun layanan yang diberikan masih mengekalkan tradisi Melayu, cuma kekangan bahasa yang sedikit membataskan aktiviti kami.

Ketika kami mengadakan persembahan kebudayaan Melayu dengan iringan paluan kompang, persembahan silat serta marhaban, wajah kegembiraan jelas terpancar. Mungkin seronok melihat adat resam sendiri yang sudah lama mereka tinggalkan kerana lama terpisah daripada budaya bangsa.

Dalam pada asyik kompang dipalu, kelihatan wajah sayu Abdul Rasyid Ibrahim, 85, memerhatikan persembahan kami dengan pandangan yang cukup dalam.

Ketika ditanya, Abdul Rasyid yang berasal dari Kedah dan sudah hampir 40 tahun menetap di perkampungan itu mengakui kerinduannya terhadap seni warisan Melayu tidak dapat digambarkan.

Dia yang masih fasih berbahasa Melayu dalam dialek Kedah turut menceritakan pengalaman dan keperitan kehidupan masyarakat Melayu di Thailand yang terpaksa memilih antara dua sama ada untuk mengekalkan identiti dan tradisi Melayu Islam atau akur dengan semangat kebangsaan bagi memastikan mereka tidak terus ketinggalan.

“Hidup kat sini bukannya senang anak. Bahasa Melayu pun ramai yang sudah tak reti nak cakap. Di kampung ini saja walaupun namanya kampung Melayu tapi mereka tak pandai bercakap Melayu sebab kebanyakan yang pandai banyak yang sudah meninggal dunia.
LinkLink
“Tok pun rasa sedih tapi Tok tak boleh nak buat apa. Yang mana ada rasa minat nak belajar Tok ajar,” katanya ringkas.


Lihat berita penuh oleh Shaarani Ismail di :
Berita Minggu, Ahad, 28.03.2010 : articles 'Menjejak Warisan Melayu'