JEJAK WARISAN JAWI (II) 2011 - 7 Countries - 'RENTAS 7 NEGARA' > Malaysia > Thailand > Burma > China > Laos > Vietnam > Kemboja

Konvoi telah pun berlepas setelah majlis Flog-off oleh YB Datok' Seri Utama Dr Rais Yatim pada 24hb Mei 2011 di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad. Kini konvoi telah pun merentas 7 negara sehingga 19 Jun 2011. Berita perjalanan konvoi JWJ2 ini telah disiarkan setiap hari di Utusan Malaysia. Bernama Online dan Bernama Radio 24 [93.9fm] jam 10.10 pagi.
Konvoi telah selamat tiba ke Tanah Air tercinta, Malaysia pada jam 10.45 malam, 19hb Jun 2011. Catatan perjalanan akan di update di blog DIARI-JWJ2



MERANTAS 7 NEGARA - Jejak Warisan Jawi II 2011

Jejak Warisan Jawi (JWJ) adalah sebuah projek anjuran MAJMA' BUDAYA DAN WARISAN JAWI untuk menjelajah Rumpun Melayu Islam yang terbit hasil daripada pemikiran kritis segolongan kecil anak bangsa yang sayangkan sejarah bangsanya dan cuba melangkau kebiasaan untuk menyelusuri dan menjejaki sejarah rumpun bangsanya di luar kelompok negara bagi menjalin kembali ikatan yang dahulunya satu.

Bertujuan menjejak dan merungkai sejarah baru bangsa Melayu dan kesinambungan tinggalannya di seluruh dunia, ia juga untuk menjalin kembali hubungan silaturrahim di dalam kelompok negara yang berlainan. Ia juga satu program yang harmoni dengan persembahan kebudayaan Melayu Semenanjung dari pasukan WarisAlam kepada masyarakat Melayu di negara-negara lain. JWJ2 akan merentas 7 Negara selama 21 hari bermula dari 25hb Mei 2011 sehingga 14 Jun 2011 dengan menggunakan 10 buah kenderaan pacuan 4 roda dari pasukan BLACKWIND ADVENTURE TEAM. Selain itu ekspedisi ini turut membawa logo kempen ‘MELAWAT MALAYSIA’ sebagai salah satu usaha projek ini untuk memperkenalkan produk pelancongan bagi menarik pelancong ke Malaysia.



Wednesday, May 25, 2011

Tiga mahasiswa bertuah dipilih sertai JWJ2

[Utusan Malaysia - Kampus - 24.05.2011]

KUALA LUMPUR 23 Mei - Tiga pelajar universiti tempatan berasa bertuah apabila dipilih sebagai anggota Jejak Warisan Jawi II (JWJ2) yang akan memulakan pengembaraan merentasi tujuh buah negara esok.

Bagi mereka, peluang yang diberikan pihak universiti serta penganjur itu akan dimanfaatkan sepenuhnya terutama dalam konteks meningkatkan pengetahuan dari segi susur galur sejarah Islam dan Melayu di rantau ini.

Mahasiswa Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Ahmad Taqqiyuddin Harun, 22, berkata, selain itu mereka juga berpeluang melihat sendiri keadaan masyarakat Islam di negara-negara bakal dilawati yang dikatakan hidup di dalam keadaan daif.

''Sebagai mahasiswa kami mahu bersama-sama memberi sumbangan dalam bentuk kebajikan kepada masyarakat Islam sama ada dalam bentuk material, fikiran dan pengetahuan,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

JWJ2 merupakan satu ekspedisi yang akan merentasi tujuh buah negara bermula esok sehingga 18 Jun ini dengan menggunakan 11 kenderaan pacuan empat roda dan disertai oleh 40 orang anggota.

Ekspedisi sejauh 14,000 kilometer itu membabitkan perjalanan dari negara ini menuju ke ke Thailand, Kemboja, Vietnam, Laos, China dan Myanmar.

Program kira-kira 27 hari itu dianjurkan oleh Kelab Putera 1Malaysia, Majma' Budaya dan Warisan Jawi (MBWJ) serta disokong oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Pelepasan ekspedisi esok dijadual disempurnakan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim manakala Utusan Malaysia pula merupakan akhbar rasmi bagi ekspedisi tersebut.

Mahasiswa tahun akhir Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Mohd. Afiq Zulkifli, 23, pula berhasrat untuk melihat bagaimana kuatnya masyarakat Islam di negara-negara bakal dilawati mempertahankan jati diri Melayu walaupun mereka berhadapan dengan pelbagai cabaran.

''Melalui kembara ke tujuh negara ini saya mahu melihat sendiri kehidupan umat Islam Melayu di sana. Di harap ia dapat menanamkan rasa keinsafan dan pengajaran dalam diri saya.

''Saya sedar mereka di sana terpaksa berdepan dengan krisis identiti jati diri disebabkan oleh peredaran masa dan proses asimilasi budaya. Namun saya yakin masih terdapat di antara mereka yang masih kuat mempertahankan jati diri Melayu dan amalan Islam,'' ujarnya.

Bagi seorang lagi mahasiswa UIAM, Ahmad Syafiq Mohd. Yuhaizad,22, yakin melalui ekspedisi tersebut ia secara langsung dapat membentuk keperibadiannya menjadi seorang insan yang lebih memahami warisan dan budaya Melayu.

''Secara peribadi saya amat berharap melalui JWJ2 ini akhirnya ia dapat didokumentasikan bagi tatapan dan pengajaran untuk generasi muda kita di negara ini,'' katanya lagi.

No comments:

Post a Comment